Kawan-kawan, aku terlupa aku mempunyai emel peribadi;hotmail,yahoo dan streamyx. Kawan-kawan, aku terlupa aku mempunyai talian telefon berangkai 3,telefon rumah dan 2 telefon tangan dikocek seluar. Kawan-kawan, aku terlupa aku memiliki akses tanpa sempadan pada dunia ini aka internet yang menghubungkan aku pada blog ini dengan blog kawan-kawan sekelian. Oleh kerana virus terlupa ini aku tidak dapat mengemaskankinikan perkembangan semasa mahupun menyemakkan halama-halaman kawan-kawan. Oleh kerana virus terlupa ini juga membuatkan aku endah tak endah pada apa yang berlaku di dunia sekitar aku.
Bebanan kerja yang terpaksa aku tanggung di pejabat semakin bertambah, tanggungjawab semakin besar walaupun gaji dan gelaran buruh kontrak tetap sama. Apa yang aku kisahkan cuma melangsaikan kerja2 di pejabat dan menyeimbangkan akaun hari ke hari walaupun aku tiada sebarang sijil pun dalam kursus perakaunan. Menyelesaikan masalah kerja rakan-rakan sepejabat satu kepastian bagiku. Kehidupan seharian banyak di habiskan di pejabat cuma: bermula jam 0900 hinggalah hampir-hampir mencecah 2400. Wajarkah aku memindahkan barang-barang peribadiku ke pejabat? Baju kerja boleh digantung di tandas, habis saja makan tengahari senang saja tukar uniform yang lain. Alat-alat mekap boleh diletak saja dalam sinki tandas ataupun bilik surau mahupon pantri sempit itu. Seluar dalam boleh saja dilipat dalam laci mejaku,sementelah aku memiliki 3 laci,satu didalam bilik dan dua disebelah meja bos. Jika penuh juga, bisa saja aku tumpang laci bos.
Lantaran sikap-sikap fanatik aku pada kerja telah melayakkan aku untuk menghadiri satu temuduga bagi jawatan pegawai,kekosongan di bahagian aku sendiri. Sudah pasti aku mempunyai kelebihan, lebih2 lagi aku mendapat sokongan kuat daripada pengurus besar ku walhal kelulusan akademikku cuma sekerat jalan saja. Hari rabu lepas hari temuduga ku tapi aku gagal hadir pada masa yang ditetapkan. Temuduga sepatutnya bermula 0930 tapi aku masih tercegat dalam hujan menunggu teksi-teksi yang kasihan melihatku melambai2 tangan. Hujan yang turun di hari itu seakan-akan menangis meratapi nasibku,atau apakah aku di ketawakan lantaran sikap endah tak endah aku. Aku melangkah masuk ke pejabat pada 1020, satu jarak masa yang agak berat untuk aku terima. Merayu; satu cara saja untuk aku menghadiri temuduga. Tapi untuk menghadiri temuduga saja aku masih tercari-cari keyakinan diri, apatah lagi dengan kelewatan aku adakah aku masih boleh berdepan dengan penemuduga dan meyakinkan mereka untuk menerima alasan remeh ku. Yakin diri yang sejak awal tidak berpijak di dunia nyata semakin bertambah, ditambah lagi dengan sikap endah tak endah aku membuatkan temuduga pada hari itu berlalu dengan cepat bagi kawan-kawan yang lain. Kawan-kawan sepejabat memarahiku lantaran sikapku walhal namaku antara yang teratas dalam senarai pencalonan. "Biarlah,aku mahu melihat kawan-kawanku berjaya dahulu" Kataku pada kawan-kawan,tapi perasaan kesal dan terkilan ada sedikit terpalit di benakku. Biarlah, yang lepas biarlah lepas. Mungkin nasib dan rezekiku lebih murah dilain waktu atau di tempat lain. Maafkanku keluarga, maafkanku kekasih, maafkanku kawan-kawan.
Menjelang minggu hadapan aku akan di tukarkan ke pejabat baru. Lokasinya ditengah-tengah segitiga emas Kuala Lumpur. Betul-betul berhadapan pub dan disko Bukit Bintang. Aku di tempatkan di Wisma KFC, setentang saja dengan Victoria Station. Benar-benar cerah diwaktu siang mahupun malam. Moga-moga perubahan ini sedikit sebanyak akan merubah kehidupan kerjaya aku. Oh ya,tadi baru saja balik dari kerja tadi aku terbaca satu notis. Bahagian Sumber Manusia mengadakan temuduga terbuka bagi jawatan pegawai pada sabtu ini. Mungkin untuk menampung kekosongan dari ketidakhadiran aku tempoh hari. Kelayakan yang diperlukan sudah tentu aku tak terjangkau,tapi patutkah aku mempertimbangkan untuk hadir sama? Kawan-kawan, patutkah aku hadir?
Kuatkan Semangat, Teruskan Berusaha!!
Posted at 5/11/2007 1:25:17 am by
n@zIf